Tuesday, June 23, 2009

IMBALAN SEKULARISASI DARIPADA TRADISI DI DALAM SENITAMPAK MELAYU.

IMBALAN SEKULARISASI DARIPADA TRADISI DI DALAM SENITAMPAK MELAYU.

Seni mengikut fahaman semasa diletakkan di bawah ketegori menjadikan (making) dan bukan melaksanakan (doing). Dalam maksud, perlaksanaan itu diselenggara mengikut kebijaksanaan amali bagi sesuatu keadaan untuk mencapai kebaikan, sedangkan seni berusaha bagi mencapai kebaikan di dalam hasil kerja itu sendiri . Misalnya apa yang penting bagi seorang tukang pedang itu ialah menghasilkan sebilah pedang yang baik, situkang tidak menitik-beratkan semada pedang itu akan digunakan bagi tujuan baik atau jahat. Sehingga dikatakan falsafah seni itu sebenarnya didahului oleh falsafah pertukangan. Manusia menjadi tukang kerana dia tidak memiliki secara semulajadi banyak perkara; dia dilahirkan telanjang, tanpa taring dan kuku tajam, tiada berdaya untuk lari laju, tanpa memiliki cengkerang atau pelindung semula jadi yang lain. Tetapi manusia memerhati perjalanan alam sekeliling, dan meniru daripadanya. Dia memerhati hujan mengalir turun daripada bukit tanpa banyak penyerapan, lalu manusia mencipta bumbung bagi kediamannya.(1)

Sesuatu artifak seni itu selain mempunyai kegunaan praktikal, ia juga sepatutnya bersifat indah. Indah itu lawannya huduh, sesuatu yang tiada indah itu biasanya huduh .

Takrifan paling minima bagi huduh ialah sesuatu objek berada di tempat yang tiada sepatutnya, ianya bukan semata-mata perkara rasa sahaja. Apabila kita berhadapan dengan sesuatu yang tiada berada ditempatnya, di waktu itu ia akan mengelirukan kita’.(2) St.Bonaventure mengatakan sesuatu gambar itu dikira indah apabila ianya dibuat dengan cara yang sewajarnya dan hasilnya berjaya melambangkan maksud yang dikehendaki. Misalnya gambaran iblis yang sangat dahsyat dan mengerunkan itu dikira indah kerana itulah yang memenuhi maksud yang dikehendaki.(3)

Perkara-perkara ini sengaja disebut, walaupun boleh dipertikaikan, kerana ia mungkin dapat membantu kita di dalam membentuk kerangka faham bagi menilai beberapa peristiwa dan sejarah. Misalnya, hampir semua aspek peradaban di alam Melayu cuba dikaitkan dengan pengaruh India, dikatakan seni tradisional kita juga bertunjangkan seni asal India. Kita akur peradaban kita banyak menerima pengaruh daripada India , tetapi agak sukar untuk menerima bahawa tunjang peradaban kita itu sendiri berasal daripada sana. Seolah-olah digambarkan orang Melayu adalah orang hindu-budha yang beragama Islam.

Sedangkan penemuan-penemuan bahan purba di tanah Semenanjung tidak dapat menyokong pandangan yang sedemikian. Contohnya, Philip Rawson mencatatkan di dalam bukunya The Art Of South East Asia

Penemuan arkeologi banyak menunjukkan pengaruh awal India di rantau ini berbentuk ukiran batu. Hal ini dapat diperhatikan pada candi di Jambi, Sumatra, candi-candi dan patung di Jawa keseluruhannya, di Champa dan Vietnam serta pulau-pulau Nusantara lainnya .Apa yang menarik mengikut Rawson ialah terdapat patung-patung dan ukiran yang berupa-sifat India, berkemungkinan besar dibawa dari India secara langsung ke daerah sini atau dibuat oleh masyarakat India yang mendiami daerah ini. Dan terdapat patung-patung yang konseo asalnya dari India tetapi mempunyai rupa-bentuk setempat, yang mungkin sahaja dibuat oleh penduduk tempatan. Hal ini perlu diperhatikan oleh pengkaji bagi membezakan hasilan luar yang dibawa ke daerah ini dan hasil anak bumi sendiri setelah menerima pengaruh dari luar. Oleh itu tiadalah sebegitu mudah untuk menggunakan penemuan beberapa patung batu dan tanah liat di kawasan utara pantai barat Semenanjung untuk dijadikan dasar bagi mengatakan bahawa orang Melayu dahulunya menganut faham hindu-budha. Kita memerlukan hujjah yang lebih kuat untuk mengiyakan anggapan itu. Hal ini perlu diberi perhatian, memandangkan ada pengkaji yang menuduh seolah-olah kita sengaja menyembunyikan sejarah zaman orang Melayu menganut hindu-budha, kerana kita terlalu ghairah untuk mengithbatkan keislaman Melayu, sehingga sanggup menutup kebenaran sejarah. Tuduhan ini tiada mungkin benar, kerana sekiranya terdapat bukti-bukti arkeologi kukuh atau berita mutawatir tentangnya, maka tiada apa yang perlu disembunyikan. Sedangkan bangsa Quraish, sebaik-baik bangsa di kalangan manusia, boleh menerima hakikat sejarah yang kebanyakan mereka adalah penyembah berhala sebelum kedatangan Islam ;maka apalah sebab kita orang Melayu perlu malukan daripada sejarah sebelum Islam kita sekiranya ianya benar-benar dibuktikan. Terdapat pula aliran yang mengatakan bahawa orang Melayu dahulunya penganut Hindu yang murni, jauh daripada syirik. Sehingga-hingga tersirat dari huraian mereka sekiranya falsafah Hindu ingin dijernihkan semula, maka neracanya adalah Hindu yang pernah dianuti oleh orang melayu, bukan falsafah Hindu yang dianuti di benua kecil India.

Perkara ini disebut di sini kerana ianya mungkin juga menolong kita memahami tafsiran-tafsiran yang telah ketengahkan tentang hasil seni yang dibuat para pengkaji. Sebahgian daripada pengkaji, terutama daripada barat cuba mengaitkan semua aspek kemelayuan termasuk seninya kepada warisan India. Sebagai contoh mereka beranggapan lok pada keris itu datangnya daripada India, ianya melambangkan naga (dan ada yang mengatakan keris yang lurus itu naga yang bertapa).A.H Hill mengatakan kajian yang dijalankan olehnya ke atas senjata-senjata lama India di Museum Victoria and Albert tidak dapat menyokong anggapan ini. Senjata tanduk kambing (ibex horn) dari India, yang dianggap keris mengambil contoh daripadanya, berbentuk bulat dan spiral sedangkan keris berbentuk leper dan berlok. (4) Seperkara lagi yang perlu diingat ialah senjata berlok merupakan suatu fenomena yang tiada asing pada senjata bangsa-bangsa lain seperti pedang Turki atau Cina..

Seakan-akan kita berdepan dengan cerita dinosour t-rex (tyronausorous), suatu masa dahulu berdasarkan penemuan fossil dan tafsiran ke atas fossil-fossil itu, t-rex digambarkan sebagai dinosour yang sangat ganas. Banyaklah lakunan filem, buku dan komik yang mengambarkan keganasannya. Kebelakangan ini berdasarkan fossil yang sama, peleontologis beranggapan bahawa t-rex sebenarnya bukan binatang yang ganas. Gerahangnya yang kuat itu bukan semestinya dapat digunakan di dalam tiada sesuai sebagai binatang pemburu dan lebih sesuai ia menggunakan gerahangnya yang kuat itu untuk memakan bangkai. Atau lebih dahsyat lagi ‘dogengan’ yang timbul dari penemuan Piltdown Man yang dianggap sebagai the missing link di dalam sejarah evolusi selama hampir 40 tahun , kemudiannya diketahui ianya adalah penipuan yang dilibatkan nama-nama besar seperti Sir Arthur Conan Doyle dan Teilhard de Chardin. Entah apa lagi tafsiran yang akan dibuat terhadap peninggalan fossil t-rex dan celarunya kisah PiltdownMan ;begitu jugalah entah apalah lagi tafsiran yang akan dibuat oleh para penyelidik tentang seni tampak Melayu..

Di dalam konteks perbincangan ini, yang dimaksudkan sekularisasi ialah suatu tanggapan dan proses yang mempunyai ciri-ciri:

I-Menilai unsur-unsur alam pada peringkat zahir semata-mata:

* alam sekitar tiada mempunyai kaitan dengan agama dan kepercayaan

* menolak unsur-unsur ghaib, tahayyul, semangat dan takdir

* manusia tiada dianggap sebagai makhluk yang bertanggung-jawab kepada Tuhan

*unsur-unsur alam dinilai semata-mata sebagai objek kegunaan yang mempunyai kepentingan yang ‘functional’ dan mengikut tahap nilai saintifik serta kegunaan dalam urusan teknikal kepada manusia. Maka istilah yang digunakan menghuraikan hubungan dengan unsur alam ialah ekploitasi, mengatasi, menundukkan, menakluki dan jarang digunakan sekali hidup bersama ‘co-exist’, simbiotik dan penyesuaian.

II-Membumikan politik:

*menghapuskan sifat kudus pada sumber kuasa dan perlaksanaan pentadbiran

*menjadikan perubahan politik dan sosial suatu kemestian

*Agama tiada berperanan di dalam kehidupan bermasyarakat

III- Menghapuskan kesucian pada nilai-nilai kehidupan.

*Semua hasilan budaya diberi pengertian zahir, sezaman dan nisbi, tiada yang tetap.

*manusia bebas melakukan pertukaran dan terangkai dalam proses evolusi

*nilai-nilai kehidupan ditentukan oleh permintaan dan tawaran tempat dan masa

*sekularisasi dianggap suatu tuntutan bagi mencapai kematangan manusia bagi mencapai tahap yang lebih baik

*manusia tiada memikul tanggung-jawab keagamaan, terlepas daripada ikatan budaya dan dukungan kerohanian. Dia bertindak secara persendirian dan bebas. Manusia itu sendiri yang mengatur kehidupan manusia.

Tradisi yang dibicarakan di sini bukan merupakan suatu pegangan tetapi sebagai suatu prinsip. Tradisi dipertahankan bukan semata-mata untuk mengekalkan status quo , kerana ianya status qou tetapi kerana pengekalan prinsip tradisi itu sesuai dengan suasana setempat dan kebudayaannya. Tradisi mengithbatkan terdapatnya peraturan dari alam tinggi, yang berpunca bukan daripada tahap manusia sahaja, bahkan peraturan ini berada di atas dan mengatasi peraturan fizikal dan persekitaran semata-mata, malah ianya menjadi sumber kepada peraturan fizikal itu sendiri. Tradisi berperanan dengan aktiviti penyampaian dari atas ke bawah atau secara melintang; ianya bukan setakat mewarisi sesuatu daripada generasi awal kepada generasi kemudian, bahkan aktiviti terasnya ialah penyampaian sumber-sumber dari alam tinggi kepada kita. Dengan menjalani kehidupan secara tradisi bermaksud manusia dengan sedar membiarkan peraturan dari alam tinggi bersebati dengan fahaman-fahaman dasar , sikap dan amalan . Kehidupan manusia dengan itu diajar dan diatur oleh sumber alam tinggi, tujuan kehidupan pula ialah untuk memperolihi kebaikan yang ditentukan oleh sumber alam tinggi itu. (5)

I-Di dalam kesempatan ini, kita cuba menyentuh beberapa bahagian daripada seni tampak yang terdapat di dalam peradaban melayu.

Seni Bina:

Hassan Fathy pernah mengatakan:

Architecture is the most important element in culture because a building in my mind is like the shell of a snail. The soft, living parts secretes calcium carbonate and by mechanical forces it takes the shape of a spiral, but once the shell is formed it turns on the living soft part and gives it shape. So it is that the house shapes the individual, the city shapes the community. (6)

Bahkan ada aliran falsafah yang muncul pada peringkat awalnya pada gaya senibina, kemudian merebak kepada bahagian lain termasuklah bidang sains sosial. Seperti aliran post-modernism bermula dengan reka bentuk bangunan yang merupakan reaksi kepada senibina moden, ianya kemudian menjadi suatu falsafah yang kompleks (7)

Masyarakat Melayu mempunyai senibina rumah dan bangunan semenjak dahulu lagi. Bentuk senibina itu banyak ditentukan oleh kegunaan sesuatu bangunan dan taraf pemiliknya. Pondok-pondok kediaman yang dibina di kuala-kuala sungai dan di perhumaan dibuat secara ringkas dan tiada dibuat untuk kekal lama. Ini sesuai dan memenuhi cara hidup penghuninya dan sesuai dengan elemen geografi-nya yang berubah-rubah. Berlainan pula dengan penempatan di kota-kota yang lebih bersifat kekal dan penghuninya terdiri daripada orang-orang yang bertaraf tinggi. Di antara pengkaji awal tentang kediaman orang Melayu ialah Alfred Russel Wallace, beliau ialah kongsi Charles Darwin di dalam menengahkan teori evolusi. Beliau menulis di dalam The Intellectual Observer , Julai 1867 suatu artikel tentang senibina kediaman penduduk peribumi yang diberi tajuk The Philosophy Of Birds’ Nest. Beliau menulis:

In almost the whole of the Malay Islands, on the contrary, the house are raised on posts, often to a great height, with an open bamboo floor; and the whole structure is exceeding slight and thin.

Kemudian beliau menyebut:

The Malay races, on the other hand, are no doubt very ancient inhabitants of the hottest regions, and are particularly addicted to forming their first settlement at the mouth of rivers or creeks, or in land-locked bays and inlets. They are a pre-eminently maritime or semi-aquatic people, to whom a canoe is a necessary of life, and who will never travel by land if they can do so by water. In accordance with these taste, they have built their houses on post in the water, after the manner of the lake-dwellers of ancient Europe; and this mode of construction has become so confirmed, that even those tribes who have spread far into the interior, on the dry plains and rocky mountains, continue to built in exactly the same manner, and find safety in the height to which they elevate their dwellings above the ground.

Beliau telah menyamakan bangsa Melayu dan beberapa bangsa lain dengan burung yang membuat sarang. Beliau menyangkal pendapat yang mengatakan burung membuat sarang meggunakan deria dan manusia membina kediaman menggunakan akal. Sebagaimana sarang burung yang senibinanya tiada berubah-ubah dari dahulu-kala, begitu jugalah seni bina orang Melayu dan bangsa lain juga tiada mengalami perubahan dan pembaikan.

Pemahaman sebegini juga kemudiannya diulangi oleh orang kita sendiri. Sehingga terdapat seorang yang berkedudukan penting pernah mengatakan orang Melayu mempunyai budaya asal jadi di dalam melakukan sesuatu, kerana itulah bangunan-bangunan binaan melayu tiada tahan lama.

Pemahaman sebegini timbul mungkin disebabkan keghairahan mengejar perubahan. Seolah-olah perubahan perlu dibuat demi perubahan itu sendiri, perubahan telah menjadi suatu keperluan. Sekiranya kita mengambil kira suatu disiplin baru ‘design for environment’, iaitu ilmu yang mengambil kira faktor dan kesan alam sekitar di dalam mereka-cipta sesuatu, sekiranya kita menjadikan ilmu ini sebagai neraca, kita akan dapati bahawa rumah Melayu tradisi lebih baik daripada kebanyakan rumah moden. Senibina rumah lama mempunyai ciri-ciri mesra alam. Contohnya terdapat pengaliran udara yang baik, suhu di dalam rumah lebih rendah daripada luar, pencahayaan semula jadi. Dan air hujan ditangkungan bagi manafaat di depan hari. Kebanyakan bahan yang digunakan juga bersifat setempat dan bio-degradable. Kediaman itu juga bersifat ‘self dependent’,tiada pergantungan kepada sumber-sumber luar. Sekiranya sesuatu rumah apa lagi sebuah dangar diperlukan untuk tempuh masa tertentu, maka apa salahnya bahan binaan itu akan lupus secara tabie selepas tempuh kegunaannya. Sekarang ini kita mengetahui berapa banyak kajian yang telah dibuat dan sedang dijalankan untuk mencipta bahan yang bio-degradable, seperti bahan plastik yang diperbuat daripada ubi kayu. Hal ini disebabkan timbul banyak masalah daripada penggunaan plastik yang non-organic kepada alam sekitar.

Binaan yang diperhati oleh Wallace dan disebut oleh orang-orang yang tertentu sebenarnya tiadalah sebegitu ‘daif’ , dan bukan pula mengambarkan seolah-olah budaya Melayu ‘asal jadi’. Bahkan mungkin itulah binaan yang optima bagi tujuan binaannya. Lagipun di dalam mana-mana tamaddun sekalipun, golongan masyarakat yang berpindah-randah tiada berkesempatan untuk menyediakan hasilan yang menitik-beratkan seni, bahkan mereka mengeluarkan hasilan untuk kegunaan praktikal. Sementara kumpulan yang menduduki kawasan kota yang bersifat lebih kekal akan membina rumah-rumah yang mempunyai nilai seni yang lebih tinggi. Lihatlah huraian Ibnu Khaldun di dalam Muqaddimah-nya. Pengkaji yang lebih menjurus seperti P J Jones dan A M Rahman daripada University of Wales dalam kajian mereka ‘Evaluation of Thermal Performance of Low-Cost Tropical Housing’ mencatitkan:

The built form of the traditional Malaysian house is considered to be a prime example of environmental design in response to regional climate conditions. It has a low thermal mass,extensive solar shading, a large number of ventilation openings. These features are well suited to the tropical climate of Malaysia, which exhibits high temperature and humidity with relatively small diural variations (12)

Senibina Rumah Melayu.

Rumah Melayu mempunyai belbagai rupa-bentuk, tetapi mempunyai beberapa ciri-ciri serantau. Rumah melayu didirikan di atas tiang, mempunyai ruang dinding yang terbuka iaitu pintu dan jendela serta sisip angin dan jejala yang banyak, serta atap yang cerun dan labuh. Tunas Effendy memetik ungkapan:

Yang bertiang dan bertangga

beratap penampung hujan penyangga panas

berdinding penghambat angin dan tempias

berselasar dan berpelantar

beruang besar berbilik dalam

berpenanggah dan bertepias

Tempat berhimpun sanak saudara

tempat berunding bijak pandai

tempat bercakap alim ulama

tempat beradat berketurunan (7)

Hari yang baik dipilih bagi kerja pecah tanah berdasarkan kiraan kalendar hijriyyah. Tapak rumah juga dilihat bagi sekun rasi serta tuah dan majal. Jenis kayu dipilih berdasarkan kesesuaian, senang diperolihi serta sifat-sifat yang dipercayai membawa tuah. Reka letak rumah dipengaruhi oleh arah mata-angin terutama arah barat, iaitu arah qiblat.Seolah-olah unsur-unsur alam yang makro dan mikro diberi tempat dan penghormatan dengan caranya di dalam proses pembuatan rumah . Tiada hairanlah rumah Melayu nyaman untuk didiami, terutama haba tidak terperangkap di dalamnya yang boleh menjadikan kita rimas, aliran udara berlaku dengan baik dan tahap kelembapan dikurangkan.

Lim Jee Yuan telah menulis suatu kertas yang baik bertajuk ‘Perbandingan antara rumah Melayu tradisi dengan rumah moden di kawasan perumahan’.Ianya dimuatkan di dalam buku Tamaddun Melayu jilid dua .( Lihat m/s:699-730).

Kepercayaan tentang pembinaan rumah dan teknikalitinya diulas secara yang agak mendalam di dalam kitab Taj alMuluk, suatu yang menarik dan memerlukan kajian yang lebih terperinci ialah nisbah yang digunakan di dalam menentukan ukuran-ukuran struktur rumah. Ukuran asas bagi pembinaan rumah Melayu ialah hasta dan depa. Terdapat nisbah yang dianjurkan di antara panjang bendul dan tiang rumah, antara tiang dan kayu alang, begitu seterusnya ukuran kasau jantan, tunjuk langit, tepu kasar, kayu tulang rabungan masing-masing mempunyai nisbahnya. Begitu juga reka-letak pintu yang mempunyai nisbah kepada bendul. Kemudian letak rumah padi dan telaga nisbah kepada bendul rumah. Kajian tentang nisbah di dalam ukuran stuktur bangunan lama di Qahirah telah ditulis oleh A.A Sultan di dalam artikel: ‘Notes On The Divine Proportions in Islamic Architecture’ yang dimuatkan di dalam journal arkitek Process. Agaknya kajian yang seumpama menariknya dapat dibuat oleh arkitek tempatan ke atas bangunan tradisi kita.

Pembinaan rumah sekarang dijalankan tanpa menghormati keadaan semula-jadi setempat. Jikalau di dalam masyarakat tradisional, manusia memikirkan bagaimana mereka mahu sejahtera daripada unsur-unsur alam, sekarang ini kita terpaksa memikirkan bagaimana mahu menyelamatkan unsur-unsur alam daripada manusia. Seolah-olah unsur-unsur alam tiada lagi menyumbang sesuatu kepada manusia. Reka-bentuk dan reka-letak rumah ditentukan oleh faktor-faktor ekonomi dan kemudahan yang praktikal tanpa diransang oleh faktor yang lebih tinggi seperti kepercayaan dan budaya. Sekiranya rumah moden yang dibina itu berhias, ia tiada lagi mempunyai hiasan ukiran flora setempat, bahkan hiasannya mempunyai selera dan gubahan yang diimpot.

Senibina rumah bukan lagi mempamirkan ciri-ciri budaya setempat serta penyesuiaan dengan persekitaran bahkan ia melambangkan citarasa pemilik secara peribadi atau imiginasi persendirian pelukis pelan. Lim Jee Yuan didalam menerangkan kediaman di kawasan perumahan, sebagai contoh, mengungkapkan:

Manusia yang tinggal di kawasan perumahan ini seterusnya mula memasukkan ciri-ciri kehidupan dan keperibadian ke dalam rumah mereka dengan membuat perubahan-perubahan kecil di dalam rumah, mengecatnya dengan warna yang lain dan secara menyeluruh menambahkan kecelaruan (disorder) ke atasnya…

Kawasan perumahan tidak boleh dikenali sebagai tempat bermasyarakat dengan pengertian sebuah tempat manusia berkongsi, mengenali jiran tetangga dan melibatkan diri dalam perhubungan social. Walau bagaimanapun ia tidak pernah dibuat semata-mata untuk perhubungan masyarakat.

A.A Sultan mencatatkan:

One wonders what are the determinants of today’s architectural forms and allocation of priorities. It appears that, in most cases at least for residential buildings, the top priority is to break away from the tradition. This is a stigma that has been dominating the field of architectural design. The more the structure is different from others, particularly the traditional ones, the better it is. Intrinsic properties of a building no longer emphasize the physical, emotional and psychological comfort of man.

Freedom of architectural thought and expression is appreciated, although its underlying motivations are questionable and the end result appears to be damaging to the social structures of cotemporary life. Prof.Hassan Fathy, Prof. C.A Doxiadis and Prof. Margaret Mead, among many others, in many ways, and in his or her own ways warned against this trend. They showed that answers to many contemporary problems in architecture particularly architectural design, can be found in history and traditional buildings. As a contemporary architectural designer, I do not advocate traditionalism and reversion back to archaic architecture as such, but rather to understand, and possible, borrow [p: inherit] from guidelines for the cotemporary.

Humans are adaptive to various determinants; social, political and economics systems, environments, location, site, space, living quarters, technology, ideology, profession and personal interest. However, and, in a universal sense, man’s physical and sentimental attachment is to his home and it is the architect’s primary task to create the most comfortable and pleasurable domiciles for the inhabitants.

Beberapa ciri yang menyebabkan rumah Melayu menjadi nyaman perlu dikekalkan dan beberapa pengubah-suaian patut dilakukan sebagai peningkatan kepada yang telah ada. Di antara peningkatan yang disyorkan itu ialah bilangan bilik perlu ditambah, kebanyakan rumah tradisi kampong mempunyai hanya satu bilik, bilik tempat tidur anak dara. Anggota keluarga yang lain termasuk ibu-bapa hanya memasang tirai kain sebagai penghadang di waktu tidur malam.

Begitu juga dengan sistem bekalan air, perparitan dan tandas perlu dipertingkatkan mengikut keupayaan dan pertimbangan masa dan tempat. Bagaimanapun pertimbangan sewajarnya perlu diberi kepada ciri rumah tradisi seperti:

*membenarkan pengaliran udara yang secukupnya bagi tujuan penyejukan dan mengurangan kelembapan

*menggunakan bahan yang mempunyai keupayaan thermal yang rendah bagi mengurangkan penyerapan haba ke dalam rumah

*mengawal pancaran terus matahari dan silau cahaya dari persekitaran

*melindungi daripada hujan

*dapat mengurangkan penggunaan tenaga

Senibina rumah yang baik dapat menjadikan sesebuah rumah itu, tanpa mengira kecil besarnya ialah apa disebut dalam istilah Kelantan sebagai langah, laha dan lawas.

2 comments:

padelito said...

waaaaa....panjangnye entri...mls nak baca..scroll je..huhu

didoot said...

ini note utk aku la padel..hihih